Berdasarkan ketetapan prinsip akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah ini, maka perkataan 'Allah' bukan daripada perkataan atau bahasa manusia. Sebaliknya, ia adalah sebuah nama yang diketahui oleh manusia melalui wahyu yang datang kepada para rasul daripada Allah swt. Ini bererti, manusia hanya mengetahui bahawa lafaz Allah merupakan nama bagi zat Allah tetapi tidak mampu dikenali hakikat-Nya sebenar. Dalam erti kata lain, Allah swt sendiri yang memperkenalkan diri-Nya dengan lafaz Allah kerana hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui nama-Nya.